Pages

Saturday, June 26, 2010

Jordan: Kronologi Sejarah Negara



Kawasan ini pernah melalui zaman kerajaan Mesir, asy-Syria, Babylon, Parsi, Macedonia, Rom, Bizantium, Arab, Mamluk dan Turki. Menjadi tarikan dan perhatian Kublai Khan cucu kepada Genghis Khan untuk Empayar Mongol, juga diminati oleh Napoleon Bonaparte dan Adolf Hitler. Merupakan laluan alternatif perdagangan sutera,rempah dan lain- lain ke Mediterranian selain dari Laut Merah. Petra, Amman dan Jerash semuanya merupakan kawasan perhentian utama perdagangan sejak zaman silam. Petra pada awalnya di bawah kekuasaan Rom namun sebaik Rom kalah, ia dikuasai oleh kerajaan Bizantium.

Seterusnya Jordan terus dikuasai oleh keturunan Bizantium di situ, puak Ghassan sebelum ditakluki Islam pada kurun ke 7 Masihi dan akhirnya menjadi kawasan di bawah Empayar Islam Turki. Dipanggil Transjordan pada tahun 1919. Wujud lepas kejatuhan Khilafah Othmaniyyah 1924 dan selepas Perang Dunia I. Pada awal penubuhannya, Jordan hanya dihuni oleh puak-puak asal tempatan yang menghuni padang-padang pasir. Kemudian berlaku perluasan penduduk selepas kedatangan pelarian Palestin menjelang perang tahun 1948 dan1967. 

9000 SM - Pendudukan pertama di Tebing Barat di Sungai Jordan. Peralatan
batu untuk manusia zaman awal ditemui di Pella, utara Jordan
3000-1550SM- Zaman Gangsa Awal : Amorites & bangsa Kana’an ( iaitu dengan penjelajahan Nabi Ibrahim ) tiba di Jordan
1280 SM - Nabi Musa membawa Bani Israel keluar dari Mesir ke arah Palestin dan 40 tahun kemudian mereka tinggal di Timur Sungai Jordan 
1225 SM - Nabi Yusya’ menawan Jericho. Palestin diagihkan di kalangan 12 puak bangsa Israel
1000 SM - Nabi Daud menjadi Raja Bangsa Israel, dia menawan Jerusalem dan menjadikannya sebagai pusat pemerintahan
960-922 SM - Pemerintahan Nabi Sulaiman. Jajahan takluknya diperluaskan melalui perjanjian dan perkahwinan. Baginda mendirikan Masjidil Aqsa di Jerusalem. Sewaktu kewafatannya, kerajaannya di sebelah selatan dikuasai oleh Judah dan sebelah Utara oleh bangsa Israel.
722 SM - Kerajaan AsySyria di bawah pimpinan Sargon II memusnahkan Kerajaan Israel dan menggantikan penduduknya dengan penduduk Syria dan Babylon
612 SM - Tentera Babylon di bawah pimpinan Raja Medes menawan Nineveh, ibu kota AsySyria.
597-587 SM - Jerusalem, Jordan dan Palestin jatuh ke tangan Raja Babylon, Nebuchadnezzar.
538 SM - Nabatean mewujudkan kerajaannya yang bertapak di Petra.
332-1 SM - Iskandar Agung menguasai Syria, Palestin dan Mesir.
323 SM - Iskandar mati dan jajahan takluknya terpisah. Ptolemy I mengambil alih Mesir dan sebahagian Syria, manakala Seleucus mengambil alih Babylon.
198 SM - Tentera Seleucid di bawah Antiochus III mengalahkan tentera Ptolemy I dan mengambil semua jajahan takluk Ptolemy I
188 SM - Antiochus III dikalahkan oleh tentera Rom, dan semua kerajaannya di ambil alih oleh Empayar Rom
170 SM - Antichous IV menceroboh Jerusalem
167 SM - Kaum Yahudi memberontak di bawah pimpinan Judas Maccabeus
64 SM - Damsyiq jatuh pada tentera Rom di Pompei. Palestin pula pada 63 SM lalu diberikan nama baru Judaea.
63 SM-106 M - Decapolis atau Liga 10 Kota dibentuk di sekitar kawasan tersebut
40 SM - Raja Parthian dari Persia dan Mesopotamia menyerang Decapolis,dan Mark Anthony memimpin tentera untuk menangkis semula serangan tersebut.
37 SM - Herod Agung diumumkan sebagai Raja Israel. Rumah ibadat dibina semula di Jerusalem.
4 SM – 39 M - Kehidupan Nabi Isa
66 M - Yahudi memberontak menentang kerajaan Rom
106 M - Kerajaan Nabatean bekerjasama dengan kerajaan Rom
325 M - Konstantine, Maharaja Bizantium telah memeluk ajaran Kristian
525-565 M - Zaman pemerintahan Maharaja Justin. Gereja-gereja mula dibina di tempat-tempat suci agama Kristian.
629 M - Kristian dan Muslim berperang buat kali pertama berdekatan Karak. Nabi Muhammad mengambil alih Makkah.
638 M - Jerusalem jatuh ke tangan orang Islam di bawah pimpinan Sayyidina Umar al-Khattab
642 M - Orang Islam menguasai Mesir
658 M - Kerajaan Umayyah diasaskan di Damsyiq. Zaman kegemilangan dalam kesenian dan senibina.
750 M - Kerajaan Umayyah digulingkan oleh Kerajaan Abbasiyyah, yang memindahkan pusat pentadbiran tika itu ke Baghdad.
1095 M - Pope Urban II melancarkan perang Salib pertama untuk mengambil alih Jerusalem dari orang Islam
1099 M - Tentera Salib membina kerajaan di Jerusalem dan mula membina kota-kota di Jordan dan Syria.
1250 M - Kerajaan Mamluk mengambil alih kuasa di Mesir. Dalam tempoh yang sekejap, mereka menguasai dari Mesir ke Syria.
1516 M - Syria dan Palestin diserap di bawah kerajaan Othmaniyyah
1901 M - Dana Kebangsaan Yahudi diwujudkan untuk membeli tanah Arab untuk penempatan Yahudi.
1909 M - Kaum Muda Turki melaksanakan pemberontakan di Istanbul lalu mencetuskan semangat kebangsaan di kalangan masyarakat di bawah Empayar Othmaniyyah.
1914-1918 M - Perang Dunia I. Empayar Othmaniyyah menyebelahi Jerman.
1916 M - Pemberontakan Arab. Gerakan Kebangsaan Arab, di bawah pimpinan Amir Faisal yang kemudiannya bergabung dengan British untuk mengeluarkan Turki Othmaniyyah.
1917 M - Pasukan tentera British mula menduduki Jerusalem dan Aqabah.
1920 M - Persidangan San Remo mengesahkan perjanjian Sykes-Picot yang diputuskan secara rahsia, yang menafikan Arab sebagai sebuah negeri yang merdeka di samping memberikan British mandat untuk memerintah Palestin manakala Perancis pula diberi kuasa memerintah Syria dan Lubnan.
1923 M - British mengiktiraf kemerdekaan Transjordan di bawah perlindungannya dengan menjadikan Abdullah, adik Faisal sebagai raja. Pasukan Tentera Arab telah dibentuk di bawah kendalian pegawai British, J.B Glubb ( Glubb Pasha )
1930 M - Sekelompok besar orang-orang Yahudi yang melarikan diri dari Nazi tiba di Palestin dan mencetuskan kekecohan
1939-1945 M - Perang Dunia II. Jordan menawarkan tenteranya untuk membantu Tentera Bersekutu
1946 M - Britain menyerah kuasanya dan Transjordan menjadi negara monarki yang merdeka.
1947 M - Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu ( PBB ) mencadangkan agar Palestin dipecahkan. Lalu Kerajaan Hasyimiyyah Jordan dibentuk.
1948 M - Kuasa Britain di Palestin tamat. Negara Israel diwujudkan. Perang Arab-Israel bermula sebaik pasukan tentera British yang terakhir meninggalkan kawasan tersebut.
1950 M - Raja Abdullah secara rasmi menggabungkan Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan Timur Jerusalem ke kerajaannya.
1951 M - Raja Abdullah dibunuh dengan kejam di Masjid al-Aqsa di Jerusalem
1952 M - Hussein ditabalkan sebagai raja ketika berusia 17 tahun setelah kematian bapanya. Talal diisytiharkan sebagai sakit mental.
1955 M - Jordan menjadi ahli PBB. Mesir mengisytiharkan Terusan Suez sebagai laluan kebangsaannya.
1960 M - Kerajaan Iraq digulingkan. Orang-orang Palestin dengan sokongan Mesir cuba menyingkirkan Raja Husein.
1964 M - PLO dan al-Fatah ditubuhkan di Palestin.
1967 M - Perang 6 Hari antara Israel dan tentera Arab menyebabkan Jordan turut terjejas.
Jerusalem dan Tebing Barat gagal dipertahankan.
1969 M - Yasser Arafat dipilih sebagai Pengerusi PLO. Tentangan terhadap Israel semangkin meningkat.
1970 M - Raja Husein menyekat pengaruh PLO yang semakin kuat sehingga mencetuskan Tragedi ‘Black September’.
Perang saudara antara penduduk tempatan berbangsa Palestin dengan kerajaan menyebabkan PLO terpaksa beralah.
1974 M - Raja Husein akhirnya mengiktiraf PLO sebagai satu-satunya perwakilan untuk bangsa Palestin.
1980 M - Jordan menyokong Iraq dalam perang menentang Iran selama 8 tahun manakala Syria menyokong Iran
1988 M - Raja Husein berputus asa dalam tuntutan hak dan pentadbiran terhadap Jerusalem dan Tebing Barat
1989 M - Harga barang makanan asasi meningkat mendadak sebagaimana yang ditetapkan oleh IMF sebagai satu Pelan Pemulihan Ekonomi Jordan. Tunjuk perasaan terhadap harga gandum tercetus. 11 jiwa terkorban di Ma’an, tenggara Petra yang merupakan kubu utama tunjuk perasaan ini.
1990 M - Iraq menakluki Kuwait pada bulan Ogos. Sebahagian besar penduduk Jordan menyokong Iraq. 300,000 rakyat Palestin yang dihalau keluar dari Arab Saudi dan Iraq tiba di Jordan.
1992 M - Perundingan damai Israel-Palestin bermula di Madrid. Undang-undang mengiktiraf semua parti politik diwartakan di Jordan.
1993 M - Pilihanraya demokratik pelbagai parti kali pertama di Jordan diadakan sebaik sahaja Palestin mengumumkan perjanjian damainya dengan Israel.
1994 M - Jordan dan Israel mengikat perjanjian damai.
1997 M - Pilihanraya Parlimen mencetuskan penguasaan puak selepas 10 parti pembangkang memboikot pilihanraya lanjutan dari tekanan kerajaan terhadap kebebasan rakyat. Anggota Mossad Israel cuba membunuh pemimpin HAMAS di Amman yang menyebabkan hubungan antara Jordan dan Israel terhenti.
1998 M - Raja Husein berangkat ke US untuk menjalani pembedahan kedua untuk rawatan kanser ( kali pertama pada 1992 ). Perjanjian damai antara Yasser Arafat dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berlangsung.
1999 M - Raja Husein meninggal akibat kanser tidak berapa lama selepas mencalonkan anak sulungnya, Abdullah sebagai penggantinya yang mengambil tempat adiknya Hassan sebagai Putera Mahkota selama 33 tahun sebelum itu. Abdullah ditabalkan sebagai Raja Abdullah II sehingga ke hari ini. 

- Politik
Jordan merupakan sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi dan sistem monarki iaitu beraja. Ahli dewan undangan negeri dipilih melalui pilihanraya yang diadakan. Walaubagaimanapun pelantikan Perdana Menteri terletak di tangan Raja dan tidak mempunyai tempoh yang tetap. Parti politik yang memerintah ialah Hizbul Watani atau Parti Negara manakala parti pembangkang adalah Hizbul Islami atau Parti Islam atau Parti Pekerja Islam.

- Nama
Jordan di dalam bahasa Arab disebut al-Urdun yg bermaksud kekuatan dan kejayaan. Dikatakan juga bahawa Urdun merupakan nama salah seorang dari keturunan Nabi Nuh a.s.

- Kedudukan Geografi
Barat Daya Asia , 290 11' - 330 22' Utara dan 340 59' - 390 18' Timur , seluas : 92 300 km2

-Topografi
Kawasan Ghawr Jordan terletak di sepanjang Sungai Jordan. Laut Mati dan Wadi Araba. Laut Mati merupakan tempat terendah di dunia menjangkau 400 meter bersamaan 1300 kaki di bawah paras laut. Menuju ke Timur, ketinggiannay semakin bertambah dari Utara ke Selatan dengan direntasi aliran sungai dan lembah.
Puncak tertinggi di Jordn adalah gungung UMM ad Dami setinggi 1854 meter dengan diikuti gunung Ram setinggi 1754 meter. Lebar maksimum tanah tinggi ini adalah 50 KM. Kawasan timur Jordan yang gersang adalah sebahagian dari pedalaman Syam.

- Iklim
Iklim padang pasir adalah panas kering sewaktu musim panas dan sejuk di musim dingin. Iklim mediterranean ketara di kawasan berbukit dengan musim panas yg sederhana dan musim dingin yang sejuk. Manakala kawasan ghawr adalah terlalu panas semasa musim panas dan sederhana panas sewaktu musim dingin. Purata suhu dalam bulan Januari di Amman, Irbid dan Aqabah adalah 7.3, 8.5 dan 16.1 oC secara umumnya dan angka ini akan meningkat sehingga 24.7, 24.7 dan 31.2 oc pada bulan Julai. Hujan tahunan mencecah sehingga ke 400 mm di Amman dan Irbid dan sekitar 37 mm di Aqabah.
Jordan juga mengalami perubahan 4 musim ;

Musim panas antara bulan Jun hingga Ogos (6,7,8)
Musim Luruh antara bulan September hingga November (9,10,11)
Musim sejuk antara bulan Disember hingga Februari (12,1,2)
Musim bunga antara bulan Mac hingga Mei (3,4,5)

- Tumbuhan semulajadi
tumbuhan padang pasir tumbuh dengan banyaknya di kawasan Timur Jordan manakala hutan, pokok oak dan pine tumbuh di kawasan berbukit terutamanya di Utara Jordan.

- Populasi
5 759 732 orang penduduk ( statistik Julai 2005 )

- Bahasa
Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa asing utama

- Agama
92 % penduduk Muslim Sunni, 6 % Kristian , 2 % agama lain seperti Druz

-Bandar Utama
Amman sebagai ibu negara, Irbid di Utara Jordan, az-Zarqa'

- Ekonomi
Pada permulaan penubuhan, kerajaan Jordan bergantung kepada dua sumber ekonomi :
- Sumber di dalam negara seperti cukai, hasil-hasil perkhidmatan dan sebagainya. 
- Sumber luar iaitu daripada bantuan dan pinjaman luar.

Menjelang 70-an, Jordan telah mengembangkan sektor-sektor lain seperti pertanian, perdagangan dan perindustrian. Kegiatan perdagangan Jordan meliputi import bahan makanan, petrol dan bahan galian manakala eksport pula adalah fosfat, minyak zaitun, karpet,simen, barangan kulit, buah-buahan dan sayuran. Sektor pertanian pula adalah yang terpenting dan menjadi antara mata pencarian keluarga yang utama di sini. Lebih daripada 40 peratus penduduknya terlibat dengan sektor pertanian. Sistem yang digunakan kini telah banyak berubah setelah kemasukan teknologi pertanian moden dan menghasilkan pulangan yang lebih lumayan. Hasil utama adalah gandum,sekoi,sayur-sayuran dan buah-buahan Mediterranean. Kawasan utama pertanian adalah Aghwar.

- Perbezaan waktu dengan Malaysia
Perbezaan waktu dengan Malaysia pada musim panas ialah lewat 5 jam manakala pada musim dingin, perbezaan itu menjadi lewat 6 jam berbanding Malaysia.

- Matawang Jordan
Matawang Jordan ialah Dinar (JOD / JD). Ia boleh dikategorikan kepada : 

1) Wang Kertas
Wang kertas terdiri daripada JD 1, 5, 10, 20, 50, 100. Wang kertas JD100 jarang digunakan. Menjadi kebiasaan jual beli di pasar-pasar, Dinar disebut Lira kerana terpengaruh kepada sebutan matawang Turki iaitu Lira.



2) Wang Syiling
Wang syiling pula ialah JD 0.010 (1 qirsy), 0.050 (biasa di sebut 'syiling'), 0.100, 0.250, 0.500. Sebelum ini wujud JD 1 dalam bentuk syiling tetapi dimansuhkan penggunaan tersebut kerana kemaslahatan dan juga keselamatan dalam urusniaga. Nilai terkecil matawang Jordan ialah fills. Istilah ini jarang digunakan oleh penduduk setempat tetapi mereka kerap malah biasa menggunakan 'Qirsy'. Namun demikian, bukan istilah yang janggal sekiranya mahasiswa Malaysia menggunakan istilah asal iaitu 'Fills'.

3) Kadar matawang
1 Qirsy = 10 fills
10 Qurusy = 100 fills
100 Qurusy = 1000 fills = JD 1

4) Kadar pertukaran matawang antarabangsa
USD 100 = JD 70.800 (menurut pertukaran semasa)

- Makanan di Jordan
Makanan asasi adalah roti yang dimakan dengan keju dan buah zaitun atau minyak zaitun dan za'tar serta humus. Makanan tradisional ialah mansaf iaitu susu kambing dimasak bersama yogurt. Selain itu, Maqlubah iaitu nasi yang ditanak dengan resepi khas berlaukkan ayam.
Minuman tradisional pula ialah kopi pahit tanpa gula berperisa buah pelaga. Bagi masyarakat di sini, kopi adalah lambang kemesraan. Mansaf juga dihidang bersama teh yang diletakkan di teh tersebut daun pudina, ketika tetamu berkunjung ke rumah.

Antara makanan lain ;
- Falafil - kacang hijau dikisar dan digoreng umpama kuih masalodeh di Malaysia
- Syawarma - umpama kebab di Malaysia
- Bamiya - sayur bendi dimasak dengan sos tomato

- Universiti utama di Jordan
1) Mu'tah University, Mu'tah
2) University of Jordan, Amman
3) Yarmouk University, Irbid
4) Al al-Bayt University, Mafraq
5) Jordan University of Science and Technology (JUST), Irbid
6) Hashemite University, Zarqa'
7) Balqa' Applied University, Amman
8) Philadelphia University, Amman

No comments:

Post a Comment