Pages

Sunday, August 29, 2010

Kata-Kata Para Imam (Ulama' Warasatul Anbiya')


Imam Malik Bin Annas Rahimahullah:

Jauhilah pendapat orang-orang yang (mengeluarkan pendapat) berdasarkan akal fikiran kecuali jika sudah disepakati oleh para ulama’ (ijma’). Ikutilah al-Qur’an yang telah diturunkan kepadamu oleh Tuhan kamu dan ikutilah Hadis yang telah diturunkan kepadamu oleh Nabi kamu. (Diriwayatkan oleh al-Sya’rani – al-Mizan al-Kubra, jld. 1, ms. 188)

Aku hanya manusia biasa yang mana pendapat aku mungkin benar dan mungkin salah. Maka telitilah pendapat yang aku kemukakan. Semua pendapat yang selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka ambillah ia manakala yang tidak selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, tinggalkanlah. (Kata-kata oleh Malik Bin anas Rahimahullah, Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr di dalam Jami’ Bayan al-Ilm, jld. 2, ms. 32)


Imam Abu Hanifah rahimahullah:

Saya mengambil (hukum agama) dari kitab Allah (al-Qur'an); Apa yang saya tidak temui dalamnya, maka saya ambil dari sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika saya tidak temui dalam kitab Allah atau sunnah Rasulullah, nescaya saya ambil pula pendapat sahabat-sahabatnya. (Diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, jld. 13, ms. 368)

Apabila aku mengeluarkan sesuatu pendapat yang bertentangan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, maka tinggalkanlah pendapat aku itu. (Kata-kata oleh Abu Hanifah, Riwayat Salih al-Fulani di dalam Iqaz al-Himam, ms. 50.)

Imam as-Syafi’e rahimahullah:

Setiap hadis yang sah daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah juga merupakan ajaran aku walaupun engkau tidak pernah mendengarnya daripada aku sebelum ini. (Diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim di dalam al-Adab, ms. 93-94)

Dalam setiap permasalahan, apabila seseorang ahli hadis itu menjumpai sebuah riwayat yang sahih daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan riwayat itu pula bertentangan dengan ajaran aku maka aku menarik kembali ajaran aku yang asal tadi sama ada pada ketika aku masih hidup atau apabila aku sudah meninggal dunia nanti. (Kata-kata oleh as-Syafi’e Rahimahullah, Riwayat Ibn al-Qayyim di dalam I’lam al Muwaqqi‘in, jld. 2, ms. 363)

Apabila sesuatu hadis itu sahih maka itulah mazhab (peganganku) aku. (Diriwayatkan oleh Ibn ‘Abidin (1203H/1789M) di dalam al-Hasyiyah, jld. 1, ms. 63 dan Ibn al-Syuhnah di dalam Syarh al-Bidayah. Dari al-Syafi‘e, diriwayatkan al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld. 1, ms. 163 dan oleh al-Sya’rani di dalam al-Mizan, jld. 1, ms. 57)

Apabila kamu dapati di dalam kitab-ku sesuatu yang bertentangan dengan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam maka berpeganglah kepada Hadis tersebut dan tinggalkanlah apa yang telah aku katakan itu (atau tuliskan). (Kata-kata oleh as-Syafi’e Rahimahullah, Riwayat al-Khatib al-Baghdadi di dalam al-Ihtijaj bi al-Syafi‘e, jld. 8, ms. 2 dan al-Nawawi di dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld. 1, ms. 63)

Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah:

Tidak ada perkataan sesiapapun melainkan boleh diterima perkataannya atau ditolak kecuali perkataan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. (Riwayat Abu Daud di dalam Masa’il al-Imam Ahmad, ms. 276)

Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah:

Setiap orang boleh diambil dan ditinggalkan perkataannya kecuali Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
(Rof’ al-Malam ‘an A’immat al-A’lam)

1 comment:

  1. kunjungan pertama.....
    manfaat banget website/Blog nya.....
    keep posting yang positif gan/sist..
    ijin lihat-lihat blog/website nya ya.....

    jangan lupa kunjungi website saya ya :)

    Daftar rumah Murah Tambun-Bekasi tahun 2016

    ReplyDelete