Pages

Sunday, June 3, 2012

Imam Ibnu Al-Jazari:Imam Qiraat

IMAM Ibnu al-Jazari (meninggal dunia 833 hijrah) mengkaji dengan teliti perkembangan Qiraat pada zamannya dan mendapati Qiraat yang menjadi amalan harian ketika itu tujuh Qiraat iaitu Imam Nafei', Ibnu Kathir, Abu Amru, Ibnu 'Amir, Asim, Hamzah dan al-Kisai.
Dalam pengamatannya juga, ramai di kalangan umat Islam ketika itu berpandangan tujuh Qiraat tersebut sahajalah yang mutawatirah dan sah membacanya dalam sembahyang. Selain Tujuh Qiraat adalah tidak mutawatirah.
Kajian Ibnu al-Jazari terhadap Qiraat berdasar kepada tiga rukun iaitu sanad yang sahih, menepati mushaf Uthmani dan menepati bahasa Arab yang fasih. Rumusannya Tiga Qiraat iaitu Imam Abu Ja'far, Imam Ya'qub dan Imam Khalaf adalah sahih dan mutawatirah.
Imam Abu Ja'far adalah di kalangan Tabien. Beliau menerima pendidikan al-Quran daripada guru-guru di kalangan para sahabat ra. Guru-gurunya ialah; Abdullah Ibnu 'Ayyash Ibnu Abi Rabi'ah, Abdullah Ibnu Abbas, Abu Hurairah. Ada juga yang mengatakan beliau sempat membaca al-Quran kepada Zaid Ibnu Thabit ra. namun Imam al-Zahabi menafikan.
Di waktu kecilnya, Imam Abu Ja'far dibawa kepada Ummu Salamah iaitu Ummu al-Mukminin dan beliau menggosok kepalanya dengan mendoakan keberkatan. Abu Ja'far juga pernah bersolat di belakang Ibn Umar ra.
Ilmu al-Quran yang dikuasainya menjadikan beliau tumpuan umat Islam ketika itu untuk menimba ilmunya antara yang menjadi muridnya ialah Imam Nafei', Sulaiman Ibnu Muslim Ibn Jammaz, Isa Ibnu Wardan, Abu Amru, Abdul Rahman Ibnu Zaid Ibnu Aslam dan tiga anaknya iaitu Ismail, Ya'qub dan Maimunah.
Imam Malik menyatakan bahawa Abu Ja'far adalah lelaki yang soleh dan mengajar al-Quran kepada penduduk Madinah. Abu al-Zinad berkata, tidak ada seorang pun yang lebih alim tentang sunnah daripada Abu Ja'far.
Diriwayat daripada Ibnu Jammaz antara amalan Abu Ja'far ialah puasa bersilang hari sebagaimana puasa Nabi Daud as.
Imam Abu Ja'far meninggal dunia di Madinah pada tahun 130 hijrah.
Perawi pertama Imam Abu Ja'far ialah Isa Ibnu Wardan. Beliau mendalami ilmu al-Quran dengan beberapa guru antaranya ialah; Abu Ja'far, Syaibah dan juga Imam Nafei'. Beliau meninggal dunia pada tahun 160 hijrah.
Perawi kedua Imam Abu Ja'far ialah Sulaiman Ibnu Muslim Ibnu Jammaz. Beliau merupakan seorang Muqri, amat kuat ingatan dan terpuji. Antara gurunya ialah Abu Ja'far, Nafei', Ismail Ibnu Ja'far dan Qutaibah Ibnu Mihran.
Beliau mendalami Qiraat Abu Ja'far dan Qiraat Nafei. Menurut Ibnu al-Jazari, Ibnu Jammaz meninggal dunia sekitar tahun 170 hijrah.
sumber dari utusan online